Kepentingan Penulisan Rancangan Pengajaran
Kepentingan persediaan mengajar tidak boleh dipertikaikan bagi setiap orang guru, terutamanya guru pelatih. Melalui (penulisan) persediaan yang terancang, guru akan dapat:
i. Meningkatkan keyakinan diri guru pelatih sebelum masuk me- ngajar ke dalam bilik darjah / makmal / bengkel.
ii. Merancang dengan teliti setiap komponen pengajaran: Objektif, pengetahuan sedia ada yang berkaitan, peralatan / bahan Bantu mengajar yang diperlukan, isi pelajaran, strategi dan kaedah
penyampaian yang berkesan, aktiviti guru-murid, penilaian, penutup, tugasan pengukuhan, dan sebagainya.
iii. Mengelakkan sebarang penyelewengan atau terkeluar daripada perkara / aspek yang perlu diajar (sebagaimana yang disarankan dalam Sukatan Pelajaran).
iv. Mengingati bahan serta pendekatan pengajaran yang perlu digunakan untuk mennyampaikan sesuatu isi pelajaran.
v. Merancang serta menyediakan satu siri aktiviti untuk membantu murid mengubah sikap, kebiasaan, kebolehan dan pengetahuan ke arah yang dikehendaki.
vi. Menggunakan masa pengajaran secara optimum melalui strategi yang lebih tersusun dan bersistem.
vii. Menghadkan skop yang akan diajar dalam sesuatu jangka waktu yang diperuntukkan supaya segala objektif pengajaran dapat dicapai dengan berkesan.
viii.Membuat pertimbangan yang sesuai bagaimanakah cara menggunakan teknik terbaik untuk menyampaikan isi pelajaran serta menilai pembelajaran murid.
ix. Mengembangkan pengajaran secara lancar dan tersusun, di mana setiap aspek yang diajar dapat dikaitkan antara satu de-ngan lain, secara jelas.
x. Menyediakan aktiviti pengajaran-pembelajaran yang lebih menarik dengan cara mengaitkan tajuk dengan isu semasa atau fenomena harian yang biasa ditemui atau dilakukan murid semasa
diluar bilik darjah.
xi. Menilai secara objektif kemampuan mereka untuk merancang dan menulis sesuatu aktiviti pengajaran dengan berkesan (refleksi kendiri), seterusnya mengambil langkah positif ke arah mengatasi sebarang kelemahan.
Rancangan Persediaan Mengajar
Terdapat tiga jenis perancangan yang perlu dibuat oleh guru semasa mengikuti program latihan mengajar: Rancangan kerja bagi tempoh latihan mengajar, rancangan kerja mingguan, dan rancangan pengajaran harian.
1 Rancangan Pengajaran Bagi Tempoh Latihan Mengajar
Guru perlu menyediakan rancangan skim kerja untuk 6 (atau 12) minggu pengajaran, dalam tempoh latihan mengajar. Dalam ruangan rancangan skim kerja, guru pelatih perlu menulis nama mata pelajaran yang diajar, tajuk besar dan sub tajuk yang akan dilibatkan dalam tempoh latihan mengajar, dan menganggarkan bilangan minggu yang diperlukan (dengan menyatakan tarikh) bagi mengajar setiap tajuk.
Rancangan skim kerja yang dibuat perlu mengambilkira semua cuti umum, aktiviti atau takwim sekolah, peperiksaan, dan lain-lain faktor yang terlibat dalam proses pengajaran-pembelajaran. Lampirkan bersama Sukatan Pelajaran bagi tajuk-tajuk yang terlibat dalam tempoh Latihan Mengajar tersebut.
2 Rancangan Kerja Mingguan
Rancangan skim kerja untuk tempoh latihan mengajar perlu diperincikan untuk pengajaran satu minggu. Semasa membuat perancangan kerja mingguan, guru pelatih perlu menyatakan segala peralatan untuk setiap pengajaran. Rancangan kerja mingguan hendaklah ditulis sebelum bermulanya sesuatu minggu pengajaran.
3 Rancangan Kerja Harian / Persediaan Mengajar
Berdasarkan rancangan kerja mingguan, guru perlu menyediakan rancangan kerja harian, yang juga dikenali sebagai Persediaan Mengajar. Rancangan kerja harian merupakan susunan perancangan aktiviti dan tindakan yang akan dilaksanakan guru, dengan bantuan bahan dan peralatan yang sesuai, dalam proses penyampaian sesuatu unit pelajaran. Ringkasnya, persediaan mengajar merupakan rancangan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh guru dan murid dalam satu atau dua waktu pengajaran. Dalam penulisan persediaan mengajar, guru perlu menggunakan strategi tertentu untuk mencapai objektif pengajaran. Segala aktiviti guru-murid yang dicadangkan hendaklah dinyatakan dalam bentuk yang mudah dicerap.
Persediaan mengajar hendaklah dibuat berdasarkan Sukatan Pelajaran, dengan cara mengubahsuaikannya kepada unit pengajaran. Semasa merancang sesuatu pengajaran, guru pelatih perlu memikirkan perkara berikut:
• Apakah perkara yang perlu dipelajari murid? (Kemahiran, fakta, konsep, sikap, nilai, dan sebagainya; di mana melibatkan aspek kognitif, psikomotor dan afektif).
• Apakah yang perlu dipelajari atau dicapai murid? (Merangkumi objektif pengajaran).
• Apakah urutan yang paling sesuai untuk tajuk dan tugasan yang dirancang?
• Apakah kaedah penyampaian yang paling sesuai digunakan supaya objektif pengajaran tercapai dengan mudah dan berkesan?
• Bagaimanakah cara terbaik untuk menilai pengajaran (guru) dan pembelajaran (murid)? Setiap persediaan mengajar perlu mengandungi tiga komponen utama:
i. Objektif pengajaran (yang perlu dicapai murid);
ii. Isi pelajaran (termasuk konsep, prinsip, fakta dan sebagai- nya); dan
iii. Aktiviti guru-murid. Perkaitan antara: Objektif - Isi Pelajaran - Aktiviti, perlu dinyatakan dengan jelas. Dalam konteks ini, objektif diibaratkan sebagai suatu soalan (misalnya, apakah yang perlu dipelajari murid?), di mana jawapannya akan diberikan oleh isi pelajaran (misalnya, murid perlu mempelajari ......... ). Manakala, bahagian aktiviti (guru-murid) mencadangkan bagaimana atau apakah langkah / tindakan (kaedah) yang perlu diambil (atau digunakan) bagi menjawab persoalan yang dikemukakan.
Tuesday, October 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment